Assalamualaikum...

Saya hanya tukang tulis...
Anda tukang baca...
Anda tukang bagi komen....
Anda tukang kriktik...

Terima kasih kerana mengunjungi blog PENAKU MENARI ...

Followers

Wednesday, December 15, 2010

Gadis Merah Jambu - Bab 3



Bunga apa yang kamu suka?

SEKUNTUM senyuman terukir di bibir comel Adreena. Dia hulurkan wang kepada lelaki yang sedang menyeringai depan matanya itu. Berkerut-kerut raut muka taukeh kedai bunga itu. Dia paling tidak tahan tengok senyuman di bibir comel Adreena itu. Pagi-pagi lagi gadis itu terpacak di hadapan kedai bunganya hanya mahu membeli sekuntum ros yang berwarna merah jambu.

“Lain kali jangan datang lagi.” ujarnya kasar. Tertelan air liur Adreena. Garang bukan main. Dia senyum pun tuan kedai bunga ini tak mahu nak membalas. Kedekut senyuman sungguh! Begini ke cara dia layan seorang pelanggan di kedainya.

“Boss! Mana boleh kita halau pelanggan pertama kita!” Terjengket-jengket Atie memukul kepala Amreez dengan jambangan bunga layu di tangannya. Berterabur kelopak bunga itu atas lantai. Amreez bertambah angin satu badan. Merah mukanya menahan marah. 

“Boss…smile…” Jon menunjukkan senyuman lebarnya.
“Kenapa aku perlu senyum depan dia ini?” gerutu Amreez. Terketap-ketap bibirnya. 

Adreena tertawa kecil. Dalam diam dia takut juga dia pada tuan kedai bunga itu. Mungkin sebab muka tegangnya yang tidak tahu melirik senyuman di bibir?

“Apa pasal kau ketawa?” Dia tenung Adreena tajam. Adreena menelan air liur. 

“Maaf…” balasnya perlahan. “Boleh saya tahu nama awak, taukeh kedai bunga?” Itu yang ingin ditanya dari awal lagi. 

Amreeez menjegilkan biji matanya. Dia merengus kecil.

“Nama boss, Amreez Firdaus. Umur boss masuk 25 tahun pada 25 Febuari ini. Tinggi boss 184 dan berat badan boss 63 kg. Boss suka warna hijau dan suka pada lagu hijau nyanyian Zainal Abidin. Hobi boss tanam pokok bunga. Hairankan lelaki sukakan bunga. Ada lagi…boss tak suka makanan pedas-pedas. Dia suka makan manis-manis dan suka minum susu.” Atie bercakap bagi pihak Amreez. 

Boss sebenarnya pemalu nak senyum. Kalau dia senyum dan ketawa memang menawan.” celah John.

Nama taukeh bunga ini Amreez Firdaus. Adreena mengusap dagunya. Dia hanya tahu nama penuh Abang Im…Imraz. Imraz dan Amreez…nama mereka dekat nak sama. Muka mereka pun lebih kurang sama. Adakah Amreez anak kepada Abang Im yang dia suka itu. Tak mungkin! Adreena menepuk-nepuk pipinya. Dia mula gigit jari. 

“Kau gadis merah jambu yang suka pada bapa aku itukan?” Amreez menongkat dagu. Tap! Batang bunga ros di tangannya itu di gunting. 

“Hah!” Mulut Adreena ternganga. Tidak berkelip dia memandang Amreez. Atie dan John tersengih.

“Bapa aku itu memang gatal! Budak kecil macam kau pun dia goda jugak! Patutlah ibu aku lari tinggalkan dia.” gerutu Amreez. Ada kemarahan pada wajahnya.

Adreena tidak tahu yang lelaki dia suka itu sudah berkahwin dan punya anak. Hancur harapan! Putus cinta! Sia-sia dia menunggu selama ini. Buang masa betul. Kenapa mama tidak beritahu yang lelaki itu sudah berkahwin. Adreena meraung-raung dalam hati. Kejam sungguh hakikat yang aku kena terima ini!

“Kau tak percaya. Nama penuh aku Amreez Firdaus Bin Imraz.” Amreez meletakkan bunga ros yang telah digunting itu ke dalam pasu. Dia tersenyum sendiri melihat bunga-bunga ros yang sudah terhias di dalam pasu itu. Senyuman manis itu menarik perhatian Adreena.

Atie memaut bahu Adreena. “Boss memang menawan bila dia tersenyum kan?”

Adreena anggukkan kepala mengiakan kata-kata Atie. Amreez memalingkan muka ke arah lain bila menyedari dirinya diperhatikan. 

Boss dari kecil dijaga oleh ayah angkat dia. Dia tidak tahu ingin ikut siapa selepas ibu bapa dia berpisah. Kemudian bapa dia hilang entah ke mana begitu jua dengan ibu dia. Dia memang marah sungguh sebab kena tinggal dengan ibu bapa dia. Bapa dia pulak hanya tinggalkan kedai bunga ini pada dia.” jelas Atie. Nampak seperti gadis bertubuh kecil molek itu lebih arif tentang taukeh kedai bunga. 

“Erkk…”

“Saya ni makcik kepada taukeh kedai bunga. Saya adik bongsu kepada ayah dia. Umur saya sudah 29 tahun tapi sebab muka saya ni awek muda dan badan saya ini kecil maka saya nampak macam budak umur 15 tahun. Boss pun malu nak panggil saya makcik. Sungguh kurang sopan sekali. Hohohoho…” Atie ketawa. 

Sekali lagi mulut Adreena ternganga. Patutlah dia berani melawan cakap Amreez. Amreez anak buah dia. Adreena mengetap bibir. Atie adik kepada Imraz dan makcik kepada tuan kedai muda bunga ini. Imraz pula adalah bapa kepada tuan kedai bunga. Agaknya berapa usia Imraz ketika berkahwin?
 Pastinya lelaki itu berkahwin dalam usia yang muda. Kalau tidak masakan dia punya anak sebesar ini. 

“Hari ini cik adik gadis merah jambu banyak menerima kejutan.” John bersuara. Adreena menundukkan kepalanya. Mukanya merah padam.

“Aku tak benarkan kau jadi mak tiri aku!” Amreez tundingkan jari telunjuknya pada muka Adreena. Berpeluh muka gadis itu.

“Errr….saya minta diri dulu.” Adreena segera berlalu keluar dari kedai bunga berkenaan. Dia menghela nafas kecil. 

Apakah Amreez tahu dia ada cakap mahu berkahwin dengan bapanya apabila besar nanti.? Gulp! Adreena menelan air liur. Macam mana dia boleh jatuh hati pada lelaki yang sudah berkahwin? Cinta pertama pula itu.

“APA! Taukeh kedai bunga itu anak dia!” Ana menekup mulutnya. Wah! Cerita panas betul yang Adreena bawa padanya. Dia pecah ketawa. Adreena jatuh hati pada bapa orang. 

“Tak baik kau ketawakan aku.” Adreena seperti merajuk. Dia manalah tahu lelaki itu sudah punya isteri dan anak. Mujurlah waktu itu dia budak kecil lagi. 

“Hahahaha….kau memang lucu sekali. Jatuh cinta pada umur 10 tahun. Cinta hati kau pulak tu bapa orang. Sekarang kau bertemu dengan anak dia pulak. Tengok gaya anak dia tak sukakan kau jadi ibu tiri dia.” Ana sambung lagi tawanya.

Cemberut muka Adreena. Dia kena hentam teruk dengan Ana ketika makan tergahari bersama tadi. Rasa mahu saja dia cekik-cekik leher minah model itu. 

“Dari pagi lagi aku tengok kau monyok semacam. Apa sudah berlaku?” Janice muncul di belakangnya sambil membawa dua gelas milo ais. 

“Aku okay…”

“Iyalah tu. Reen…Encik Aliff ingin jumpa kau. Lupa pula aku nak sampai pesanan dia tadi.” Janice meletakkan gelas minuman itu atas meja. 

“Ermmm…”

“Kau dengar tak apa aku cakap ni?” Janice menarik hidung Adreena.

“Sakitlah. Orang dengarlah.” 

“Tunggu apa lagi. Encik Aliff panggil mengadap tu.”

Dia aturkan langkah menuju ke pintu lif. Apalah yang diingini oleh Pengarah Urusan itu. Dia ada buat kesalahan besar ke? Atau pasal dia tumpah air kopi pada baju temannya itu kelmarin. Dia bukan sengaja tumpahkan air pada pakcik itu. Pakcik itu yang renung dia macam mahu makan orang. Tidak mengapa jika Encik Aliff mahu potong gaji dia. Janganlah dia dibuang kerja. Dia bekerja di sini tidak sampai satu tahun lagi.

Semua kakitangan di pejabat memandangnya sinis. Adreena hanya menundukkan kepalanya. Siapalah dia…Dia hanya seorang gadis penyambut tetamu di sini. Adreena berdiri di hadapan pintu bilik yang tertera nama Aliff Hakimi di situ. Perlahan-lahan dia mengetuk pintu bilik tersebut. Adreena memulas cembul pintu sebaik saja diarahkan masuk. Encik Aliff sedang menongkat dagu memandang skrin komputernya. Lelaki inilah yang menjadi pujaan teman baiknya Ana. 

“Silakan duduk Adreena.” arahnya. Dia masih menumpukan perhatian pada skrin komputer. 

“Terima kasih.” Adreena duduk pada kerusi yang berhadapan dengan meja Encik Aliff itu. Hatinya kuat berdebar.

“Awak free malam ini?” soalannya itu buat Adreena angkat kepala. Laju dia gelengkan kepalanya. Dia perlu menjaga adik-adiknya. Mama pulang lewat malam. Lagipun dia bukan jenis yang suka keluar malam.

“Maaf…Saya perlu jaga adik-adik saya di rumah.” Adreena menolak lembut. 

“Hahahahaha…..” Tiba-tiba saja Encik Aliff ketawa. Rasanya dia tidak bicarakan kata-kata yang lucu. “Awak ini memang sukar dipikat.” Encik Aliff menanggalkan kaca mata putihnya. Lelaki itu memalit senyuman di hujung bibir.

Apa maksud Encik Aliff? Dia tidak mengerti. Lain macam pula bunyinya. Tegak bulu roma. Taukeh kedai bunga pun tidak memberikan efek meremang bulu roma. Encik Aliff bangun dari duduknya. Dia merapati Adreena dengan senyuman yang masih tidak lekang dari bibir. Dia renung gadis comel depan matanya itu.

“Awak kenal Anabella?”

Pantas Adreena anggukkan kepalanya. Mestilah dia kenal. Anabella kawan satu tadika dengan dia.
“Awak boleh adjustkan temujanji saya dengan dia.” 

Adreena menarik nafas lega. Fikirnya tadi Encik Aliff mahu berikan serangan seksual. Dia punya tenung macam nak baham orang. Kalau pasal Ana dengan rela hati dia sudi membantu. Dia tengok Encik Aliff orang yang baik-baik. Ana pun memang ada hati pada Encik Aliff. Hari-hari dia jadi tukang sampaikan salam untuk Ana. 

“Saya akan bantu Encik Aliff.”

Thank you…” ucap Encik Aliff. 

Ketika keluar dari bilik Encik Aliff,…Adreena terserempak dengan pakcik kelmarin. Tajam sekali renungan mata pakcik itu melihat dia. Habis diratahnya atas dan bawah. Pakcik itu memang mengerikan. Adreena segera berlalu. Dia tidak sanggup jadi mangsa pandangan mata pakcik yang macam mata lembing itu. Tajam!

Meja penyambut tetamu itu lenggang apabila dia kembali. Ke mana pulak perempuan cina itu menghilang. Adreena bercekak pinggang. Tidak mungkin temannya itu sudah pulang awal dahulu dari dia. Habis siapa pula yang membenarkan pakcik itu naik ke atas?

“Warghh!” Tiba-tiba sahaja Janice menerkam dari belakang.

Terkejut Adreena dibuat. Dia mengurut dada. Lemah semangat! Hantu punya kawan. Janice mengekeh ketawa.

“Kau memang sengaja.” Adreena menarik cuping telinga Janice. Geram!

“Aku temankan kau balik. Aku ingat nak singgah di kedai bunga bekas buah hati kau itu.” Janice menggesel pada Adreena. 

Adreena mencebik. Bercinta pun tidak sudah dikatakan bekas buah hati. Sudahlah dia yang bertepuk sebelah tangan. Sedihnya…Dia rasa tidak mahu jejak kaki ke kedai bunga itu lagi. Taukeh kedai bunga pun bukannya sukakan dia. 

“Kau pergilah seorang.” Balasnya lemah. Kalau dia tengok taukeh kedai bunga macam dia tengok Abang Im depan mata. 

“Kenapa?” soal Janice kehairanan. Dia mengajak Adreena kerana gadis arif tentang bunga berbanding dirinya. Dia mahu belikan bunga untuk majlis perkahwinan sepupunya.

“Taukeh kedai bunga itu garang! Lagipun bunga-bunga di situ tak cantiklah.” gumam Adreena.

“Alasan! Aku tak kira kau kena ikut juga.” Janice sudah menarik lengan Adreena. Dia paksa Adreena mengikut langkah. 

“Janice!” Adreena menjerit lantang. Tunggang-langgang dia berjalan. 

Sedar-sedar mereka sudah berada di depan ‘Sweet Florist Desire’. Terbeliak mata Janice melihat keindahan bunga-bunga di kedai terbabit. Dia berpaling kepada Adreena. Adreena muncungkan bibir. Dia tarik Adreena masuk ke dalam. 

“Selamat datang.” ucap seorang lelaki tinggi berkulit hitam manis. Boleh tahan orangnya. Ada macho seperti Remy Ishak. Janice memberikan senyuman menggoda. Terangkat-angkat keningnya.

“Dia ke taukeh kedai bunga.” bisiknya pada Adreena. 

“Bukan.” 

“Macam mana rupa dia?” soal Janice.

“Itu…yang itu…” Jari telunjuk Adreena di halakan pada lelaki yang sedang menyusun jambangan bunga di atas rak itu. Serta-merta lelaki itu menoleh. Dia seakan menyedari kehadiran Adreena di kedainya.

Janice terpaku. Mulutnya terkunci rapat. Wow! Ini lagi hensem. Lelaki melayu terakhir konon-kononnya. Dia tolak tubuh Adreena ke hadapan. Mujur saja gadis itu tidak tersungkur. Taukeh kedai bunga sudah merenungnya tajam. Adreena menundukkan kepala. Jangan harap dia mahu pandang wajah taukeh kedai bunga. Dia masih berasa malu lagi. Dia membisu maka taukeh kedai bunga pun membisu.

“Errr….” Adreena pun sudah tidak reti mahu berbicara. 

“Berapa ratus kuntum bunga ros merah jambu awak nak?” Dia membuka suaranya dahulu. 

“Errr…” Adreena masih tergagap-gagap.

“Berapa?” Amreez menekan suaranya.

“Se…se…sebenarnya..ka..kawan saya….”

“Berapa?” Amreez meambahkan lagi volume suara.

“100 kuntum!” Adreena menjawab laju. Ops! Dia menekup mulut. Alahai....dia memang gugup bila orang meninggikan suara dengannya.

Janice menepuk dahi. Janice tertawa kecil. 

“Idin! 100 kuntum ros merah jambu untuk dia ini.” Jari telunjuknya ditunding pada muka Adreena. Adreena gigit jari lagi. Dalam hati sudah gelisah. Wang dibawa tidak mencukupi untuk membayar harga 100 kuntum ros merah jambu.

Romie X Julie_Bab 6


 Cinta itu menyakitkan...

TUAN Hilman tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) bersama Romie dan Ojay. Ally menjemput mereka di lapangan terbang tersebut bersama Hasif. Romie tetap bersahaja sambil bersiul-siul kecil. Dia berlalu melintasi Ally dan Hasif. Perilaku Romie dikerling Ally dengan ekor matanya. Romie memang tidak akan berbaik dengan kedua adik-beradik tirinya itu. Mereka tidak sebulu. Ally merengus kecil. Dia cuba berbaik-baik dengan Romie namun adik tirinya itu seakan tidak mengendahkan dia. Ally sakit hati! Kalau boleh dia mahu menghapuskan Romie untuk mengambil kedudukan sebagai pewaris keturunan Tun Muzaffar. Romie tidak layak menjadi pewaris! Romie hanya suka bermain-main di luar. Romie tidak pernah mengambil serius dalam urusan perniagaan keluarga mereka. 

            Ally melirik senyuman sinis. Dia merapati Tuan Hilman. Ally dapat merasai ketegangan pada wajah tua ayahnya itu. Pasti Romie menimbul masalah lagi kepada ayah mereka. Ayahnya pula masih bersabar melayan kerenah Romie. Tumpuan Tuan Hilman bukan kepada Ally tetapi Hasif. Tuan Hilman langsung tidak mempedulikan kehadiran Ally di situ. Dia berjalan mengiringi Hasif.

            “Bagaimana?” Tuan Hilman terus menyoal. Hasif tentu tahu apa yang dia maksudkan.

            “Teratak Cahaya Corporations adalah milik Raffique anak kepada arwah Tuan Zain. Syarikat itu baru setahun bernaung tetapi sudah memiliki beberapa projek yang mampu menandingi kita.” jelas Hasif. Serta-merta mimik muka Tuan Hilman berubah.

            Dia sama sekali tidak menduga yang pewaris musuhnya itu telah memulakan langkah. Raffique…anak sulung Tuan Zain itu bukan calang-calang orangnya. Dia amat bijak mengemudi layarnya dalam dunia perniagaan ini. Dalam usia yang begitu muda dia membawa Teratak Cahaya Corporations antara salah sebuah syarikat yang berpengaruh. Tuan Hilman mula merasai kewibawaannya mula tergugat.

            “Aku mahu kau hantar seorang pengintip ke Teratak Cahaya Corporations.”

            Hasif tersentak.

            “Uncle…kenapa kita perlu takut pada Teratak Cahaya Corporations? Mereka tidak mampu benamkan syarikat gergasi seperti kita.”

            “Hasif….Kecil-kecil cili api. Jangan pandang rendah pada musuh kita.” Tuan Hilman memberikan peringatan. Hasif anggukkan kepalanya. 

            “Saya akan buat seperti yang uncle inginkan.”

            “Bagus!” Tuan Hilman menepuk lembut anak muda itu. Hasif mengukir segaris senyuman di bibirnya. 

            Ally mencemikkan bibir. Tuan Hilam meletakkan kepercayaan seratus-peratus terhadap anak saudaranya itu. Dia rasa terpinggir. Apakah dia tidak cukup hebat mengendalikan urusan syarikat berbanding Hasif? Dia langsung tidak pandang tinggi oleh ayah tirinya itu. Dia seperti seorang lelaki yang tidak berguna. 

            Di dalam kereta mewah itu, Romie hanya membisu membuang pandangan ke luar. Seboleh-boleh dia tidak mahu ke sini. Dia belum puas menatap wajah ayu Julie Esmelda. Entah bila lagi mereka akan bersua. Romie juga tidak bertegur sapa dengan Ojay. Kalau bukan kerana Ojay dia tidak pulang bersama ayahnya. Adakalanya Ojay seperti babysitter pula.

            Tuan Hilman menarik nafas lega kerana Romie mahu pulang. Apa yang dicari oleh Romie di sana? Tuan Hilman mengusap-usap janggut putihnya. Dia mula mengesyaki sesuatu. Dia kerling Romie dengan ekor matanya. Ada segaris senyuman terukir di hujung bibir anak lelakinya itu.

            “Romie…” panggil Tuan Hilman. 

            Romie berpaling ke arah ayahnya. 

            “Saya tidak berminat mahu bergaduh dengan ayah.” getusnya.

            “Ayah hanya nak bertanya tentang kesihatan kau.”

            “Saya baik-baik sahaja.”

            “Jangan bohong dengan ayah!” Tuan Hilman mengeraskan sedikit suaranya.

            “Saya dah kata yang saya okey!”

            “Romie Izary!”

            “Kalau saya mati pun ayah tidak akan pedulikan saya!”

            Romie memalingkan kepalanya. Wajahnya suram. Dia tidak perlukan perhatian dari ayahnya. Dia tahu menjaga kebajikkan dirinya sendiri. Dia bukan budak kecil lagi. Dia sudah berusia 22 tahun.

            “Kau perlu datang ke syarikat. Kau perlu belajar mengendalikan syarikat dari Hasif.”

            Romie membisu. Dia tidak berminat untuk ambil tahu pasal syarikat gergasi keturunan keluarganya itu. Dia lebih suka bermain muzik dan bekerja di bengkel Ojay.

            “Lupakan muzik kau dan bengkel kereta itu.” sambung Tuan Hilman. Apa yang dilakukan oleh Romie sungguh memalukan. 

            Romie tetap membisu. Dia tidak mempedulikan kata-kata ayahnya itu. Dia akan tetap dengan pendiriannya. Orang tua itu tiada hak untuk menghalang! Dia bebas melakukan apa yang dia suka tanpa kongkongan.

            “Romie Izary!” Tuan Hilman meninggikan suaranya. Sikap tidak endah Romie seakan mahu menguji kesabaran Tuan Hilman.

            “Saya tidak pekak ayah. Tapi jangan haraplah saya nak dengar arahan ayah itu. Saya bukan anak patung seperti abang!” desisnya. 

            Ally tersentak. Bicara Romie itu buat dia makin sakit hati dengan adik tirinya itu. Romie seakan memandang rendah padanya. Dia pasti…dia pasti akan merampas kedudukan Romie di dalam syarikat kelak. Dia akan hapuskan Romie!

ROMEO and Juliet. Written by: William Shakepeares. Buku novel itu dibelek berkali-kali. Julie mengetap bibir. Berkira-kira sama ada mahu membelinya atau tidak. Sudahnya dia meletakkan kembali novel tersebut di dalam rak. Gadis yang sibuk berpiano macam dia mana ada masa mahu membaca novel. Seharian dia akan ke kelas piano Mama Freda. Kalau dia duduk di rumah pun pasti dia merasa sunyi. Dalam banglo mewah itu kosong tanpa penghuninya. Abangnya sibuk dengan urusan perniagaan. Kalau ada ibu bapanya, dia tidak akan kesunyian seperti ini.

            Abang pula sejak kebelakangan ini makin jarang berada di rumah. Pejabat adalah rumah pertama abang. Dia tahu abang sedang bekerja keras untuk belajar selok belok perniagaan dari pakcik mereka.

            “Julie!” Dia berpaling sebaik saja namanya di panggil. Seorang gadis manis datang menghampiri. Lengannya ditarik.

            “Bukan main lama mencari buku masih tidak jumpa-jumpa buku yang kau nak beli ke?” desis temannya itu. Dia meninjau buku-buku yang berada di rak tersebut. Buku yang tampak agak terkeluar itu ditarik. Buku tersebut seakan menarik perhatian.

            Gadis yang berdandan dua itu mendengus kecil. Dia merampas buku tersebut dari pegangan Julie. Disorokkan buku itu ke belakang.

            “Kau ingat aku tak nampak tajuknya. Romeo and Juliet kan.” Gadis itu bercekak pinggang. “Kalau dah suka tak perlulah nak letak balik.” Pipi gebu Julie ditarik. Julie tersenyum malu. 

            Mereka menuju ke kaunter pembayaran. Namun mereka dikejutkan kekecohan di kaunter. Pemilik kedai buku itu sedang memarahi seorang lelaki yang agak sebaya dengan mereka. Lelaki itu berpakaian agak serabut. Rambut yang panjang ditocang seperti ekor kuda. Lagak gaya seorang rockers. Julie mengerutkan dahi. Bukankah wajah lelaki itu seakan dia kenali. Ya! Dia sudah ingat. Lelaki itu adalah pelajar yang suka tidur dalam kuliah dan memidas kata-kata pensyarah. Pelajar yang pintar tetapi bermasalah dari segi displin. 

            “Wow! That’s Crossfire singer.” Terdengar suara pekikkan sekumpulan gadis berbangsa Inggeris. Mereka mula mengerumuni remaja lelaki itu. Pemilik kedai buku itu sudah ditolak ke tepi.

            Julie mencebik bibir. Orang yang famous memang ramai peminat. Selesai membayar dia terus mengajak temannya keluar dari kedai buku berkenaan.

            Sehari selepas kisah di kedai buku itu, Julie dikejutkan dengan kehadiran lelaki itu di kelas piano persendiriannya. Julie bingkas bangun lalu menyilangkan tangannya. Dia memakukan matanya ke arah lelaki yang tidak tahu adab itu.

            “Keluar!” arahnya.

            Lelaki itu tidak mengendahkan amarahnya. Dia bingkas duduk di kerusi piano itu. Bibirnya mengulum senyuman. Julie menjegilkan biji matanya. Apa yang lelaki itu mahu lakukan. Dia tidak pernah bermusuhan dengan lelaki ini.

            “Ini kawasan persendirian! Awak tidak dibenarkan masuk tanpa kebenaran. Lebih baik awak keluar dari sini sebelum saya buat aduan tentang awak!” gerutu Julie. Jari telunjuknya sudah dihalakan ke muka pintu.

            “One Last Wish…Kau tahu main alunan muzik itu.” soalnya tiba-tiba.

            Julie anggukkan kepalanya. 

            “Mainkan untuk aku.” pintanya. Dia merenung ke wajah Julie. Julie tersentuh pada wajah yang penuh berharap. Ada kesedihan pada mata kuyu itu.

            Julie anggukkan kepala. Lelaki itu bangun dan membiarkan Julie duduk semula di kerusinya. Julie menghela nafas kecil sebelum memainkan lagu yang dipinta oleh lelaki itu. Lelaki itu duduk bersandar pada dinding memerhati pandangan di luar jendela. Air matanya menitis tanpa disedari. 

            “The soft, minor piano is enhanced by strings, and speaks of an unwillingness to say goodbye. This bittersweet farewell ends with a sweet, lasting touch.” suara Julie. 
“Apakah awak berpisah dengan kekasih awak?”

            “No! Aku bukan putus cinta dengan mana-mana perempuan.” balas lelaki itu agak keras. Dia mengatur langkahnya ke muka pintu. “Aku hanya mahu mendengar kerana lagu ini mengingatkan aku pada mummy aku yang mencintai orang yang tidak sepatutnya dia cintai.” Lelaki itu berlalu pergi.

            Julie hanya memandang sepi. Selepas itu dia tidak nampak lagi kelibat lelaki itu di kolejnya. Dari khabar yang dia dengar lelaki itu telah menamatkan pengajiannya lebih awal dan pulang ke tanahair.

            Aku tidak menduga lelaki itu adalah Romie. Romie Izary Hilman. Anak kepada lelaki yang telah membunuh kedua orang tuaku. Mungkin Romie sudah tidak mengingati wajah aku kerana pertemuan antara kami ketika itu terlalu singkat. Pertemuan kali kedua pula menjanjikan permusuhan. Julie hempaskan tubuhnya di atas sofa empuk. Novel Romeo And Juliet itu dibelek setiap helaian muka suratnya sementara menunggu kehadiran seseorang di situ.

            “Huh! Rupanya adik jelita I yang datang menjenguk I.” Julie berpaling. Dia melirik senyuman memandang lelaki segak yang sedang berdiri di muka pintu bilik tamu itu bersama teman perempuannya.

            Julie melemparkan novelnya di atas meja. Dia meluru memeluk lelaki segak itu. 

            “Abang! Kenapa abang tidak datang tengok persembahan Julie di Rome.” getusnya sebaik saja meleraikan pelukannya.

            “Abang minta maaf. Abang benar-benar terlupa.” Raffique mengusap-usap kepala Julie.
            “Abang…Julie sudah memulakan rancangan Julie.” Dia berbisik halus. 

            Raffique tersentak. Dia memberikan isyarat mata pada temannya perempuannya. Wanita itu anggukkan kepala dan berlalu pergi. Rafiqque tidak tahu apa yang difikirkan Julie hingga bertindak di luar pengetahuannya. Dia amat risaukan keselamatan adiknya itu. Dia tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku pada Julie. Julie satu-satunya saudara sedarah dan sedagingnya. Tuan Hilman bukan mudah untuk ditangani. Mereka perlu berhati-hati.

            “Julie…amat berbahaya kalau kau bertindak sendirian begini. Abang tidak mahu mereka mencederakan kau.” Cemas sekali wajah Raffique. Dia memaut bahu adiknya itu.

            “Abang jangan bimbang tentang Julie. Julie tahu menjaga diri Julie. Lagi pun Julie tidak mampu berdiam diri melihat kemegahan mereka depan mata Julie!” tegas Julie.

            “Julie….”

            “Abang…Julie tidak boleh biarkan kematian papa dan mama tidak terbela. Julie akan buat orang yang mereka sayang terkubur di hadapan mereka.” 

            Dia tidak akan behenti di pertengahan jalan selagi dia tidak lihat keluarga Tuan Hilman terkubur di depan matanya. Mereka telah merampas kegembiraan yang patut dia miliki ketika kecil. Raffique menggenggam erat jemari Julie. Adiknya ini sudah berhati dingin macam ais. Hati Julie penuh dengan kebencian dan dendam. Adakalanya ia menakutkan Raffique.

            Sejak kematian ibu bapa mereka, Julie berubah sama sekali. Dia menjadi pendiam dan jarang tersenyum. Julie juga kurang bersosial dengan teman-teman yang lain. Dia asyik berkurung di dalam bilik saban hari. Raffique pernah menceroboh masuk ke dalam bilik Julie tanpa pengetahuan adiknya itu. Bilik itu penuh dengan keratan-keratan akhbar mengenai keluarga Tuan Hilman. Raffique menelan air liur. Ayat-ayat yang ditulis pada dinding bilik adiknya itu amat menakutkan. Anak matanya bulat melihat anak patung beruang Julie yang bercerai anggota badannya berselerakkan atas lantai.

            Atas sebab itu Raffique meminta pertolongan Mama Freda. Dia masukkan Julie ke kelas piano agar Julie melupakan kebencian yang telah bersarang di hatinya itu. Tapi dia silap! Julie telah memulakan langkahnya. Apa dia risaukan itu telah terjadi. 

            “Julie…abang tahu Julie begitu bencikan Tuan Hilman. Tapi abang tidak mahu kebencian dalam hati Julie itu makan diri. Abang tidak mahu adik abang disakiti lagi.”

            Julie memalingkan kepalanya. Dia tidak suka abangnya memandang dia seperti budak kecil lagi. Apakah abang mahu membiarkan musuh mereka hidup dengan senang-lenang?

            “Julie tahu apa yang buat!” Julie meninggikan suaranya. 

            “Abang sayangkan Julie!” 

            Julie terdiam. Pintu bilik tamu itu terkuak. Seorang lelaki melangkah masuk. Matanya terpaku pada gadis yang sedang berdiri di hadapan Raffique. Tidak pernah dia lihat gadis jelita itu sebelum ini. Teman wanita baru Raffiquekah?

            “Sen! Boleh you ketuk pintu sebelum masuk!” Raffique menjeling lelaki itu tajam.

            “Sorry! I tidak tahu you ada tetamu di sini.” Sen tersengih.

            “You jangan nak fikir yang bukan-bukan. Kenalkan ini adik I, Julie.” Raffique boleh meneka apa yang bermain di dalam fikiran teman baiknya itu.

            Sen membulatkan biji matanya. Dia tidak tahu pula Raffique punya seorang adik yang begini jelita. Dia merapati kedua beradik itu. 

            “Helo…I’m Sen atau nama sebenar I Syed Hussein.” Dia mengenyitkan matanya.

            “Julie…Julie Esmelda.” balas Julie pendek. Tiada senyuman terpalit pada bibirnya. Dia mengaturkan langkah. Pintu bilik tamu itu dihempaskan perlahan.

            “Dingin macam ais. You tak pernah beritahu pada I yang you punya adik begitu jelita!” Sen memaut bahu Raffique.

            “Perlukah? I rasa tidak perlu.” 

            “Raff…I rasa macam I nak jadi adik ipar you.”

            “Jangan you nak mengarut!” getus Raffique.

 Dia siku lengan Sen. Sen menyeringai. Dia baru gurau sedikit sudah kena dengan penangan Raffique.

“Okay-okay. I behenti mengarut sekarang. Ini maklumat yang you inginkan.” Sampul surat berwarna coklat yang dibawa itu dihulurkan kepada Raffique.

“Raff…Berhati-hati dengan musuh dalam selimut.” Sen memberikan amaran. 

Raffique membisu. Dia sudah bersedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku. Dan dia bukan seorang lelaki yang bodoh! Tuan  Hilman....Permainan sebenar baru bermula!

Thursday, December 9, 2010

Gadis Merah Jambu - Bab 2



Taukeh Kedai Bunga 
 
AUNTIEBerikan saya sekuntum ros merah jambu.” Adreena menghulurkan sekeping wang not lima ringgit kepada nyonya penjual bunga di tepi jalan itu.

  “Aiyaaasorrylah amoi comel. Itu bunga semua sudah dijual ma.

 Wajah Adreena berubah. 

“Awal pagi sudah habis dijual?” 
“Itu orang muda sudah angkut semua itu bunga ros merah jambu. Lu boleh pinta sekuntum dari dia.” Nyonya penjual bunga itu menundingkan jari telunjuknya pada seorang lelaki yang sedang membeli senaskhah suratkhabar tidak jauh dari gerai bunga itu. Lelaki itu membawa sejambak bunga ros merah jambu di sebelah tangan kirinya.

 Adreena cuba amati wajah milik lelaki itu. Dia sukar untuk melihat wajah lelaki itu kerana terlindung dari majalah-majalah yang tergantung di kedai berkenaan. Adreena memanjangkan lehernya. Lelaki itu sudah berpaling dan mengorak langkah. 

Tanpa membuang masa, Adreena turut membuka langkahnya mengekori lelaki terbabit. Dari susuk tubuh belakang lelaki itu, Adreena yakin lelaki itu yang dia jejaki semalam. Semakin dia kejar semakin laju pula langkah lelaki itu. Adreena jauh ketinggalan dia belakang. Dia sudah kehilangan bayangan lelaki tadi. Adreena mengeluh hampa. 

Dia masuk ke tempat kerja dengan muka yang tidak bersemangat. Bunga ros merah jambu di dalam pasu Kristal itu sudah layu. Keluhannya hanya seketika. Mulut Adreena terlopong apabila melihat sejambak bunga ros merah jambu yang berada di atas meja penyambut tetamu itu.

“Selamat pagi Reen.” Janice yang baru tiba menepuk lembut bahunya. “Wow! Banyaknya bunga kau beli pagi ni. Apa mimpi kau dapat malam tadi?” 

“Pagi…Aku tak beli bunga tu. Aku datang saja sudah ada atas meja.” balas Adreena. Dia mencapai jambangan bunga tersebut. Ada sekeping kad terselit di situ. Belum sempat dia membukanya, kad tersebut telah dirampas oleh Janice. 

“Gadis merah jambu!” Janice menggarukan kepala apabila membaca ayat yang tertulis di dalam kad tersebut. Hanya itu sahaja. Tiada patah perkataan yang lain. Dia halakan pandanga ke arah Adreena. Temannya itu dipandang atas dan bawah. Janice mengusap dagu.

“Aku rasa bunga ini untuk kau.” Janice memberikan kad itu kepada Adreena.

“Kau kata bunga ini untuk aku?”

“Siapa lagi yang suka warna merah jambu di sini kalau bukan kau! Gadis merah jambu…” Janice tersengih. Adreena mengetap bibir.

ADREENA menongkat dagu. Ada keluhan di bibirnya. 

Gadis merah jambu…” Ana tertawa kecil. Dia rasa gelaran itu memang sesuai buat Adreena yang sememangnya sukakan warna merah jambu. Sweet

“Eh!” Adreena bingkas bangun dari kerusinya. Raut wajahnya berubah. 
“Kenapa?” Ana menyoal. Adreena tidak menjawab. Dia meluru keluar dari kafe tersebut. Ana turut bangun dan mengekori langkah Adreena. 

“Tak mungkin!” Mata Adreena membulat besar. Ana turut memberikan reaksi yang sama.

Kedai bunga yang kelihatan usang dan terbiar itu sudah bertukar wajah. Baru semalam dia lihat kedai itu masih terbiar tetapi hari ini…Adreena menggosok matanya berulang kali. Adakah dia bermimpi? Adreena berlari menyeberangi jalan raya dalam keadaan lalu lintas yang masih sesak. Perbuatan itu boleh hampir mengundang bahaya pada dirinya. Dia menyeberangi jalan tanpa menunggu lampu isyarat berwarna merah. Ana mengurut dada. Temannya itu sudah takut separuh mati atas tindakan drastik Adreena.

Keindahan bunga-bunga itu bagaikan berada di dalam taman kayangan. Adreena menyentuh bunga-bunga segar yang terhias di segenap ruang dalam kedai bunga itu. Tiada yang berubah. Semua sama seperti 13 tahun yang lepas. Apakah dia sudah kembali? Jantung Adreena berdengup kencang. 

“Selamat datang ke ‘Sweet Florist Desire’.” Suara serak-serak basah itu menyapa. Adreena berpaling. 

Seorang lelaki yang bertubuh kurus dan tinggi itu memalitkan senyuman yang cukup menakutkan bagi Adreena. Dia renung lelaki muda itu. Lelaki itu tidak kelihatan langsung seperti ‘Dia’. Mimpi Adreena musnah sama sekali. 

“Kamu mahu bunga apa?” Bukan main garang pertanyaan lelaki ini. Adreena menelan air liur. 

Adreena berpaling ke kiri dan ke kanan. Kemudian dia menundingkan jari pada bunga ros yang terhias di dalam bakul berbentuk rotan itu.

“Saya mahu yang itu.”

Rose Basket…Harganya RM 100.00 sahaja.” Dia bawakan bunga tersebut kepada Adreena. 

Berkelip-kelip mata Adreena. Mahalnya…

“Maaf…saya tak jadi nak belilah.” 

“Hey! Sesuka hati awak nak cancel beli! Mana boleh!” rengus lelaki itu kasar. Tersentak Adreena. Dia kecut perut melihat wajah yang sedang menyeringai di depan matanya itu. 

Boss!” Seorang gadis bertubuh kecil molek merapati. Rambutnya yang bertocang dua itu mempelihatkan raut wajah keanakkan. Dia tersengih. Terjengkit-jengkit dia berbisik pada telinga lelaki itu. 

“Apa pulak! Aku tak suruh Idin hantar bunga itu ke Segamat!” Dia melenting. Gadis kecil molek itu menekup kedua belah telinga. Dia berlalu ke belakang dengan mulut yang masih membebel. 

“Maaf…maaf kerana kekasaran boss kami.” Gadis kecil molek itu menyusun sepuluh jari. Adreena sedaya upaya mengukir senyuman. Dia memang alami kejutan sebentar tadi. 

“Tidak mengapa.” balas Adreena. Lebih baik dia beredar dari kedai bunga ini. 

“Maaf sekali lagi.” ucapnya. “Hari ini pembukaan kedai bunga kami tapi boss kami buat perangai pulak. Tiada seorang pelanggan pun yang berani masuk ke dalam kedai bunga dengan senyuman menakutkan boss kami tu.” desis gadis kecil molek itu.

“Kalau begitu biarlah saya jadi pelanggan pertama di sini. Saya mahu flower basket ini tetapi bukan ros berwarna merah. Saya mahu ros berwarna merah jambu.” Adreena melirik senyuman manisnya.

Di sebalik pintu belakang lelaki tadi sekadar menjadi pemerhati. Dia menyilangkan kedua belah tangannya. Di sebelahnya berdiri seorang lelaki yang bertubuh sasa. Lelaki itu mengusap-usap rambutnya. Dia diperlakukan seperti budak kecil. Dia mengetap bibir. Lelaki yang bertubuh sasa itu tersengih menampakkan barisan giginya yang agak kurang rata itu. 

Adreena menarik nafas lega sebaik saja melangkah keluar dari kedai bunga terbabit. Kenapalah dia bersikap terburu-buru tadi. Dia taksub melihat kedai bunga ini telah dibuka semula. Fikirannya hanya tertumpu kepada ‘Dia’.

 “Reen…” Terkocoh-kocoh Ana mendapatkan Adreena. Dia risaukan Adreena. Temannya itu begitu lama berada di dalam kedai bunga tersebut. Apakah dia menemui apa yang dicarinya? Adakah lelaki itu sudah kembali? Namun…raut pada wajah Adreena sudah memberikan jawapan pada persoalan yang bermain di kepalanya. Ana memeluk bahu Adreena.

BOSS! Kamu terlalu garang sangat!” gerutu gadis kecil molek itu. Dia renung tajam lelaki yang sedang duduk menyilangkan kaki itu. Tangannya ligat menghiaskan bunga di dalam bakul rotan. Sungguhpun lelaki itu berperangai ego, kasar dan tegas tetapi kepakarannya memang tiada tanding.

Boss! Kamu mesti belajar senyum begini.” Lelaki bertubuh sasa itu menunjukkan demonstrasi. Lebar sekali senyumannya. 

“Betul tu! Boss kena belajar mengukir senyuman dari Abang Jon.” Gadis kecil molek itu menepuk-nepuk tangannya. 

Lelaki yang dipanggil boss itu hanya membisu. Dia masih ligat menyiapkan gubahan bunganya. Teruk sangat ke senyuman dia sampai dia kena belajar dari orang lain. Merepek!

Boss…” Kedua pekerjanya itu sudah menyeringai dengan sikap tidak ambil pedulinya. Mereka bagaikan bercakap dengan tungggul kayu. Dia menghela nafas panjang. Dia cukup tidak senang hati apabila kedua pekerjanya buat muka monyok di hadapannya.

“Aku nak keluar sebentar.” Dia bingkas bangun menanggalkan apron di pinggangnya. Bunga yang sudah siap digubah itu dibiarkan atas meja.

Boss! Kamu mahu jadi stalker lagi!” Laung gadis kecil molek itu. Dia berpaling. Dia renung pekerjanya itu dengan pandangan tajam. Mereka berdua tersengih.

 Pintu kedai bunga itu ditolak perlahan. Seorang wanita anggun melangkah masuk. Lagaknya seperti orang yang berpengaruh. Mereka saling berpandangan. Dia berlalu melepasi wanita anggun itu.

“Ini pilihan muktamad kau, Amreez! Kau mahu jadi penjual bunga?” Nada yang keras keluar dari bibir merah bak delima itu. 

Dia behenti dari melangkah.

Of course Cik Puan Juliana. Ini adalah pilihan aku.”

Wanita itu mengetap bibir. Lelaki itu tetap tidak berganjak dari keputusannya. Apakah kemewahan yang dia miliki tidak dapat menakluk hati lelaki itu. Dia mula membelek wajahnya di cermin. 

“Cik Puan dah cukup cantik….tak payahlah nak belek-belek lagi muka puan tu.” Getus gadis kecil molek itu. Tapi kau sedar tak yang usia hampir sepuluh tahun lebih tua dari boss mereka. Boss kita orang mana suka perempuan tua! Bukan mereka tidak tahu kenapa wanita itu tergila-gilakan boss mereka. Siapa yang tak suka lelaki kacakkan! 

Juliana merapati Amreez. Hati mana tidak berbunga apabila melihat wajah tampan di depan matanya itu. Sayangnya lelaki itu jual mahal dan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Dia mahu memberi namun Amreez tidak pernah meminta. Bukan dia tidak berikan Amreez kereta tetapi kapcai buruk itu juga yang Amreez gunakan.

Dia menjaga Amreez dari kecil mengikut wasiat ayahnya. Amreez ditatang bagai minyak yang penuh. Pada mulanya dia tidak menyelitkan sebarang perasaan pada adik angkatnya itu sehinggalah Amreez meningkat remaja. Dia tidak dapat menahan perasaan yang bergolak di dalam hatinya. Cintanya telah berputik untuk Amreez. Siang malam wajah Amreez berada di dalam ruang matanya. Juliana jadi penasaran. Dia pantang melihat Amreez rapat dengan gadis lain. Dia akan jadi gila. Dia mula menyekat pergaulan Amreez dengan gadis-gadis seusianya. Dia mahu Amreez memandangnya seorang dan bukan gadis lain. Sikapnya itu buat Amreez keluar dari istana mahligai Juliana. Dia tidak tahan dikongkong oleh wanita berkuku besi itu.

 “Atie…aku keluar dulu.” Amreez menolak pintu kedainya. Juliana laju mengekori dari belakang. Kebelakangan ini, Amreez kerap mengelakkan diri dari berjumpa dengan dia.

 “oss memang hadapi masalah besar.” keluh gadis kecil molek bernama Atie itu. Dia tenung lelaki bertubuh sasa yang berdiri di sebelahnya itu. Lelaki bertubuh sasa itu menganggukkan kepalanya.

“ADUH!” Adreena menyeringai bila bahunya dilanggar kasar. Lelaki yang melanggarnya itu berpaling. 

Sorry…” Itu saja ucapan yang dia berikan. Lelaki itu mengatur langkahnya semula.

Bulat biji mata Adreena dengan sikap lelaki itu. Dia mengejar dan menarik lengan lelaki tadi. Adreena mengerutkan dahi. 

“Awak! Awak taukeh kedai bunga itukan!” Jari telunjuknya ditundingkan pada muka Amreez. 

Amreez menggarukan kepala yang tidak gatal.

“Kau siapa?” soalnya. 

Terkedu Adreena. Begitu cepat lelaki ini melupakan dia. Rasanya baru lagi mereka bersua. 

“Nama saya Adreena. Saya yang datang beli bunga di kedai awak tengahari tadi.” Adreena tanpa segan memperkenalkan dirinya. 

“Ada aku tanya nama kau?” balas Amreez. Dia kerling gadis itu dengan pandangan yang memukau. Bertukar kaler pada muka Adreena.

Dua tiga kali pandang lelaki ini memang tampan. Lebih-lebih lagi dengan haruman yang yang melekat pada tubuhnya. Haruman ros kegemaran ‘Dia’. Lelaki ini telah mengingatkan Adreena pada ‘Dia’.

Amreez menguap kecil. Matanya agak layu sedikit. Dia agak kurang tidur kebelakangan ini. Sibuk pasal kedai bunga yang baru yang dibukanya itu. Nasib baik juga dia dapat melepaskan diri dari Juliana. Rimaslah kena sekatan dengan wanita itu. Dia tidak ambil peduli dengan Adreena di depan matanya. Dia mengorak langkah namun Adreena menahan. Gadis itu mendepangkan kedua belah tangannya. Amreez merengus kecil. Apa pula yang diingini oleh gadis yang memakai blaus berwarna merah jambu ini.

“Boleh saya tahu nama awak?” pinta Adreena. Tidak berkelip dia merenung lelaki itu. Mukanya bertambah merah.

“Kau nak buat apa? Kau nak jampi serapah nama aku ke?” Amreez mengusap-usap dagunya. 

Adreena menggeleng laju. “Bukan…bukan…saya just nak tahu nama awak sahaja.” 

“Pelik betul kau. Tapi aku tiada masa mahu melayan kau, gadis merah jambu. Bye-bye.” Amreez mengangkat sebelah tangannya. Dia berpatah balik semula. Panjang dia membuka langkah. Adreena terpaku seketika. 
“Gadis merah jambu. Adakah awak yang…” Tidak habis lagi dia menuturkan kata lelaki itu sudah hilang dari pandangan mata. Adreena mengeluh hampa. Tidak mengapa! Dia akan cuba menyiasat taukeh kedai bunga itu. 

Manalah tahu kalau taukeh kedai bunga itu ada kaitan dengan ‘Dia’. Adreena tidak dapat menipu dirinya yang dia masih merindui ‘Dia’. Senyuman manis yang terukir di bibir ‘Dia’ sukar untuk dikikis dari ingatan.
 
“Abang Im suka Reen tak?” soalnya manja. Kelopak bunga ros itu di tarik satu-persatu.
 
“Abang suka Reen. Reen comel dan rajin.” Tangan kasar itu mengusap lembut rambutnya. Dia tersenyum ceria. Suka benar jika dirinya dikatakan comel.

“Bila Reen dewasa nanti Reen nak kahwin dengan Abang Im.” Dia hanya mengulum senyuman mendengar kata-katanya itu. Kata-kata budak perempuan yang belum matang.
Dia malu sendiri. Angan-angan budak kecil. Masakan ‘Dia’ akan ambil serius dengan bicara budak sekecil dia. Rindunya kian membuak pada lelaki itu. Abang Imraz…ke manakah kau menghilangkan diri. Apakah kau sudah melupai budak perempuan comel yang suka pada kau ini? Apakah kau sudah menemui kebahagiaan yang kau cari dan melupai budak perempuan comel ini?

Adreena mendongak ke langit yang kian mendung. Terasa ada titisan air menitis pada pipi gebunya. Dia membuka beg tangannya lalu mengeluarkan payung berwarna merah jambu. Payung itu dibuka perlahan. Adreena mengatur langkahnya. Berlari-lari anak dia menuju ke stesen bas. Matanya tertacap pada susuk tubuh yang berdiri di seberang jalan. Adreena mengetap bibir. Taukeh kedai bunga! Lelaki yang menggelarkan dia gadis merah jambu. Entah-entah jambangan bunga ros merah jambu yang dia terima itu dari taukeh kedai bunga.